Jumaat, 1 Ogos 2014

Bab 5 Merajuk

Aku terkejut dari lamunan apabila adikku Ati menangis.Tak ada siapa nak kawankan dia bermain.Hari itu aku sendiri tak bersemangat nak bermain.Emak sedang masak di dapur.Setelah siap memasak, emak memanggil kami semua naik makan.Kami berebut-rebut menaiki tangga.Gulai ikan keli mempelam bemban.Aku tengok ayah makan sungguh berselera.Dihisap-hisapnya mempelam masak kari keli.Aku pula makan ikan keli goreng dengan kicap.Tengah makan ayah bersuara,"Sim, hang naiklah darjah 5.Nanti peperiksaan darjah 6, kalau cemerlang barulah masuk sekolah menengah.Kak Mah hang di Sekolah al Ridhwaniah, Telok Medan, abang Not di Sekolah Ahya' Assharif Gunung Semanggol.Aku tak upaya nak hantar hang ke Sekolah King Edward VII, Taiping.Manalah cukup duit motong getah.Adik-adik hang lagi ni."
Aku tunduk sahaja.Adik-adikku menjeling pada aku.Akulah orang pertama berhenti makan.Aku minum air serbat yang mak buat.Tak hilang rasa dahagaku.Aku membawa pinggan ke dapur dan membasuh.Diikuti adikku.Aku turun ke bawah rumah.Naik buaian guni.Air mataku tergenang di kelopak mata.Aku membawa sebatang kail buluh terus ke tepi parit di kaki bukit Kampung Haji.Aku mengikut arah kaki melangkah sepanjang-panjang parit itu hingga sampai ke tepi sungai.Aku bermenung di tepi sungai.Tiada siapa yang tahu aku di situ.Aku tak dapat menahan air mata yang mengalir dari tadi lagi.Aku menangis.Dan terus menangis sepuas-puasnya.Seandainya aku terjatuh hanyut dalam air sungai yang deras, dimamah buaya, aku redho dengan nasibku.Sampai petang baru aku balik ke rumah.Aku tak bercakap sepatah pun.Sungguh sedih hatiku, tak dapat peluang belajar di sekolah berasrama.Masa tu cuti penggal tiga persekolahan.Malam tu aku tidur cepat.Mak dan ayah tahu perasaan sedihku.Dalam masa mata beransur pejam aku dengar emak berpesan pada adik-adikku jangan bising.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan