Jumaat, 1 Ogos 2014

Bab 6 Naik darjah

Tahun depan, tahun 1961 aku terus berada di Sekolah Umum Sungkai.Naik darjah 5.Guru darjah aku cikgu Sha'arani.Tak lama mengajar, dia bertukar ke Slim River.Cikgu Yahya bin Haji Abu Bakar mengambil alih guru darjah aku.
Semasa di sekolah rendah, aku adalah diantara tiga orang murid yang menjadi harapan sekolah dalam bidang pelajaran.Apabila ada kelas tambahan setiap Sabtu, kami bertiga yang hadir.Sekali-sekala guru besar, Mohd Sharif menjengok kami belajar.
Permainan yang aku gemari, sepakraga.Kedudukan aku sebagai tekong regu B.Selain itu menjadi pelatih bola jaring bagi pasukan bolajaring sekolah.Pasukan bolajaring sekolah, kuat.Disegani pasukan dari sekolah-sekolah berhampiran.Mungkin kerana pemain-pemain bolajaring ni selalu berlatih melawan pasukan lelaki.Sehinggakan masa bertanding dengan pasukan lawan, kata cikgu Aris, garang dan berani macam murid lelaki.Yang nyata garang dan cergas Salmah.Sebagai penyerang, sanggup berguling-guling merebut bola.Natrah pula penjaring gol yang lemah-lembut orangnya.Ramlah periang orangnya.Dapat tangkap atau terlepas bola, dia tetap senyum.Sampai jurulatih cikgu Aris menjerit di tepi padang suruh dia garang sedikit.Manaf rakan pasukan aku patah dua batang gigi atasnya  berlanggar dengan Leka.Dia mencari-cari giginya yang patah atas padang.Selepas latihan, cikgu Aris bawa Leka ke klinik untuk rawatan kerana keningnya berdarah.Esok harinya cikgu Aris beritahu gigi Manaf terlekat pada kening Leka.Kami ketawa.Murid-murid lain yang mendengar penerangan cikgu Aris juga turut tertawa.

Tahun 1962, kami naik darjah 6.Kami akan menduduki peperiksaan untuk masuk ke sekolah menengah.Jika gagal tidak dapat meneruskan pelajaran.Tolong mak ayah buat kerja kat rumah.Ada dua kali peperiksaan.Pertama peperiksaan darjah 6.Mata pelajarannya Bahasa Melayu, English,Kira-kira, Ilmu Kejadian,Tawarikh dan Ilmu Alam.Kedua peperiksaan Ugama Islam untuk masuk ke sekolah menengah ugama.Masa peperiksaan Ugama Islam,ramai murid dari sekolah lain datang menduduki peperiksaan.Sekolah Umum Sungkai jadi pusat peperiksaan.
Akhir tahun, dalam masa cuti sekolah, dapat tahu keputusan.Ismail dapat A dalam peperiksaan Ugama Islam.Dia ditawarkan ke Sekolah Izzudin Shah, Ipoh.Zawiyah juga dapat A, ditawarkan ke Sekolah Raja Perempuan Ta'yah, Ipoh.Aku gagal.Mat Yunus lulus tapi tiada tawaran.Kami menunggu keputusan peperiksaan darjah 6.Aku dan mat Yunus hanya dapat B.Ismail sekali lagi dapat A.Ditawarkan ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.Salmah dapat B,Mokhtar,Mazlan,Soid dan Abdul Razak dapat C.Yang lain-lain tidak lulus.Tidak dapat meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.

Bab 5 Merajuk

Aku terkejut dari lamunan apabila adikku Ati menangis.Tak ada siapa nak kawankan dia bermain.Hari itu aku sendiri tak bersemangat nak bermain.Emak sedang masak di dapur.Setelah siap memasak, emak memanggil kami semua naik makan.Kami berebut-rebut menaiki tangga.Gulai ikan keli mempelam bemban.Aku tengok ayah makan sungguh berselera.Dihisap-hisapnya mempelam masak kari keli.Aku pula makan ikan keli goreng dengan kicap.Tengah makan ayah bersuara,"Sim, hang naiklah darjah 5.Nanti peperiksaan darjah 6, kalau cemerlang barulah masuk sekolah menengah.Kak Mah hang di Sekolah al Ridhwaniah, Telok Medan, abang Not di Sekolah Ahya' Assharif Gunung Semanggol.Aku tak upaya nak hantar hang ke Sekolah King Edward VII, Taiping.Manalah cukup duit motong getah.Adik-adik hang lagi ni."
Aku tunduk sahaja.Adik-adikku menjeling pada aku.Akulah orang pertama berhenti makan.Aku minum air serbat yang mak buat.Tak hilang rasa dahagaku.Aku membawa pinggan ke dapur dan membasuh.Diikuti adikku.Aku turun ke bawah rumah.Naik buaian guni.Air mataku tergenang di kelopak mata.Aku membawa sebatang kail buluh terus ke tepi parit di kaki bukit Kampung Haji.Aku mengikut arah kaki melangkah sepanjang-panjang parit itu hingga sampai ke tepi sungai.Aku bermenung di tepi sungai.Tiada siapa yang tahu aku di situ.Aku tak dapat menahan air mata yang mengalir dari tadi lagi.Aku menangis.Dan terus menangis sepuas-puasnya.Seandainya aku terjatuh hanyut dalam air sungai yang deras, dimamah buaya, aku redho dengan nasibku.Sampai petang baru aku balik ke rumah.Aku tak bercakap sepatah pun.Sungguh sedih hatiku, tak dapat peluang belajar di sekolah berasrama.Masa tu cuti penggal tiga persekolahan.Malam tu aku tidur cepat.Mak dan ayah tahu perasaan sedihku.Dalam masa mata beransur pejam aku dengar emak berpesan pada adik-adikku jangan bising.