Rabu, 23 Julai 2014

Bab 4

Aku lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan smc (special malay class) darjah empat.Dapat gred A.Aku macam tak percaya.
"Kamu dapat apa Mat?"
"Dapat B aje," jawab Mat Yunus rakan sekelas aku.
"Kamu le dapat A," dengan nada kecewa dia memberitahuku.
Dia kurang berminat nak bertanya hal-hal lain.Dia terus berlalu ke rumah opahnya.Aku ke rumah mak anjang.Dia tiada di rumah.Belum balik menoreh lagi agaknya.Aku pulang ke rumah.Mak dan pak sedang bersembang.Gembira kelihatan wajah mereka.Adik-adik aku asyik bermain.Menah baru 6 tahun.Noi pula 3 tahun dan Ati 1 tahun.
Ayahku tiada kelulusan tinggi.Dia bersekolah hanya setakat darjah tiga.Kena tolong orang tuanya.Dia mengambil upah memukul padi.Mak pula setakat darjah dua.Anak gadis dulu-dulu kurang diberi peluang belajar kerana faktor kemiskinan.Dulu kami tinggal di Sungai Gedung.Kakak dan abang-abangku masa itu bersekolah di Sekolah Melayu Simpang Empat.Mereka menaiki bas ke sekolah.
Sekarang kami menetap di Sungkai.Dalam tahun 1956 kami sekeluarga berpindah ke Sungkai.Sebelum berpindah ayahku telah datang lebih awal dengan berbasikal ke Sungkai.Tiang talipon jadi pedoman.Dalam perjalanan tayar basikalnya bocor.Dia berhenti.Entah kebun getah siapalah agaknya di situ.Dia menakik pokok getah.Dia mengambil getah yang mengalir itu untuk menampal tayar basikalnya.Itulah kecekalan ayahku.Dia sudah siap sedia dengan getah penampal dan pam tangan.Katanya dia sampai di Sungkai jam 3.00 petang setelah keluar rumah kira-kira pukul 7.00 pagi.
Dia dapat tahu abangnya Arbaie telah berpindah lebih awal lagi.Tidak mencukupi dengan hasil padi yang luas hanya sekangkang kera untuk menyara lima orang anak-anaknya ketika itu.Terpaksalah ayah mengikut jejak langkah abangnya mencari rezeki di tempat orang.Abangnya berniaga.Dia berjual ais cendol, ais kacang dan tapai.Perniagaannya maju.
Ayahku dapat peluang menoreh getah.Tempatnya jauh.Lubuk Puteri namanya.Semasa aku dalam darjah empat, dia mengajak aku menemaninya pada  hari cuti Jumaat dan Sabtu.Perjalanannya jauh.Aku duduk di atas palang.Sampai di kawasan padang ragut, kelihatan beberapa ekor kerbau berkubang.Ayahku terus mengayuh dengan laju.Ada diantaranya yang garang.Itulah yang menakutkan.Sampai di tebing sungai,ayah memakai kain cukin sementara aku membogelkan diri.Aku memegang pinggang ayah kerana dia membawa tong getah, baldi dan peralatan menoreh.Tempat itu sunyi.Jauh dari kawasan perkampungan.Tugasku mencuci cawan getah.Aku teringat suatu malam ayah bercerita.Ayah kata ada seekor beruang sebelah badannya putih dan sebelah hitam.Patutlah ayah bawa pedang.Diikat di pinggang.Sambil berjalan mataku liar memerhati sekeliling.Sebelum ni ada orang menoreh di kebun itu.Terserempak dengan beruang sedang membawa buah durian.Langsung dia berhenti.Oleh kerana kemelut kemiskinan ayah sanggup menghadapi bahaya.Asalkan anak-anaknya berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan